Thursday, December 22, 2011

MALAYSIA TERTINGGI MASALAH OBESITI

MALAYSIA berada pada kedudukan tertinggi di kalangan negara ASEAN yang berhadapan dengan masalah obesiti, manakala yang keenam di rantau Asia Pasifik.





Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin, berkata masalah itu berpunca daripada pengambilan gula yang berlebihan di kalangan rakyat negara ini.

Rosnah menyeru supaya kita sebagai masyarakat harus menekankan betapa pentingnya menjaga kesihatan termasuk kadar pengambilan gula seharian yang menyumbang kepada diabates.


Rosnah berkata, berdasarkan kajian pengambilan gula di kalangan orang dewasa di negara ini pada 2002 dan 2003 mendapati, rakyat Malaysia mengambil 51 gram gula tambahan, berbanding 50 gram yang disarankan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Menjawab soalan asal daripada Datuk Md Sirat Abu (BN-Bukit Katil), Rosnah berkata, sebanyak 1,266 sampel makanan dianalisis pada 2009 untuk bahan pemanis dan 7.3 peratus atau 92 sampel daripadanya didapati melanggar standard yang ditetapkan.


Katanya pada 2010, sebanyak 2,004 sampel makanan dianalisis di mana 5.4 peratus bersamaan dengan 108 sampel didapati melanggar standard ditetapkan.

Beliau berkata, selain tindakan mahkamah terhadap pihak industri yang tidak bertanggungjawab, kerajaan juga mengeluarkan senarai produk yang melanggar Peraturan-Peraturan Makanan 1985.

Rosnah berkat, tindakan pihak kementerian adalah dengan melaksanakan pengambilan sampel dari semasa ke semasa untuk memastikan makanan yang dijual di pasaran adalah terdiri daripada makanan yang selamat dimakan.

TERJEBAK PENGARUH VIDEO, WEB LUCAH

KUALA LUMPUR: Seramai 152,182 anak luar nikah atau anak tak sah taraf direkodkan antara tahun 2008 dan 2010, kata Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Heng Seai Kie.

Statistik Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) menunjukkan Sabah mencatatkan kelahiran anak tak sah taraf tertinggi iaitu 41,490 orang, diikuti Selangor (18,983), Sarawak (17,570), Johor (16,298) dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (12,095). Beliau berkata, berdasarkan kerja kes yang dijalankan pegawai kebajikan masyarakat, antara punca yang menyumbang kepada kelahiran anak luar nikah termasuk pengaruh rakan sebaya, rela melakukan hubungan seks tanpa paksaan dan tidak mempunyai pengetahuan berhubung kesihatan reproduktif dan seksual.

Punca lain adalah kurangnya perhatian ibu bapa, menonton video dan laman web lucah, kurang didikan agama, perasaan ingin mencuba dan diperkosa saudara sendiri. Seai Kie berkata, antara langkah diambil kementerian bagi membendung gejala itu termasuk menggubal Dasar dan Pelan Tindakan Pendidikan Kesihatan Reproduktif dan Sosial (PKRS) Kebangsaan pada 2009, melancarkan kempen Kami Prihatin pada April 2010, menjalin kerjasama strategik dengan Jabatan Latihan Khidmat Negara bagi mengintegrasi PKRS bermula Julai lalu, menubuhkan enam pusat remaja kafe@TEEN yang memberi maklumat berkaitan isu psikososial dan perkhidmatan Talian Nur 15999.

Langkah ini diharap dapat membendung dan mengurangkan bilangan kes anak tak sah taraf, namun pembabitan dan komitmen semua pihak terutama ibu bapa dalam menangani isu ini amat diharapkan. Menjawab soalan tambahan Mohd Jidin mengenai tindakan terhadap pesalah sehingga melahirkan anak luar nikah, Seai Kie berkata, pasangan beragama Islam boleh didenda tidak lebih RM5,000 dan penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali mengikut Akta Kesalahan Jenayah Syariah Persekutuan 1967, sementara tiada tindakan bagi pasangan bukan Islam.

Bagi ibu yang melahirkan anak luar nikah di bawah 16 tahun (yang melakukan hubungan seksual) sama ada secara sukarela atau paksaan, mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan dianggap sebagai jenayah rogol dan jika lelaki yang melakukan jenayah itu melebihi 18 tahun, dia boleh disabitkan hukuman penjara antara lima hingga 20 tahun serta sebatan.

32 INDIVIDU DITAHAN BUANG BAYI TAHUN INI

KUALA LUMPUR: Sekurang-kurangnya 32 individu ditahan tahun ini kerana membuang bayi, menjadikan keseluruhan 63 individu ditangkap sepanjang dua tahun lalu, peningkatan ketara berbanding hanya 38 individu ditahan dalam


tempoh tiga tahun dari 2007 hingga 2009.

Tangkapan tahun ini, termasuk terbaru membabitkan wanita berusia 20 tahun yang ditahan kerana disyaki membuang bayi baru dilahirkannya ke dalam parit kebun sawit di Kampung Melayu Raja, Ledang, Johor, minggu lalu. Perangkaan terbaru Polis Diraja Malaysia (PDRM) juga menunjukkan jumlah tangkapan tahun ini melebihi 31 tangkapan sepanjang tahun lalu, dengan sebahagian besar suspek adalah wanita selain sebilangan kecil warga asing. Pada 2007, hanya lapan tangkapan direkod berbanding 76 kes pembuangan bayi, manakala 16 individu ditahan pada tahun berikutnya berbanding 102 kes dan pada 2009 pula, 11 tangkapan dicatat dari 79 kes buang bayi.

Daripada keseluruhan 94 tangkapan sepanjang lima tahun lalu, 19 individu sudah didakwa di mahkamah dengan 15 daripadanya wanita, manakala 12 dijatuhkan hukuman dengan sembilan perempuan. Bagaimanapun, perangkaan itu tempoh dua tahun menunjukkan jumlah tangkapan masih rendah berbanding keseluruhan kes pembuangan bayi dalam tempoh itu, iaitu 164 kes, termasuk 96 bayi ditemui sudah mati.

Mengulas mengenainya, Naib Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF), Tan Sri Lee Lam Thye, berkata tindakan proaktif pelbagai pihak perlu bagi ramai suspek kes buang bayi ditangkap. Katanya, cadangan banyak pihak supaya diwujudkan pangkalan data mencatatkan butiran lengkap kelahiran bayi dan ibu bapa di negara ini, termasuk rekod ujian asid deoksiribonukleik (DNA) perlu dilaksanakan segera dalam usaha mengesan pasangan yang membuang bayi.

Katanya kepada Berita Harian, adangan mewujudkan pangkalan data DNA sesuai dipertimbangkan kerana ia boleh membantu polis mengesan penjenayah termasuk kes buang bayi. Berita Harian sebelum ini melaporkan 73 kes pembuangan bayi, termasuk yang dibunuh kejam dicatatkan di seluruh negara antara Januari hingga Ogos tahun ini, menjadikan keseluruhan 571 kes direkodkan sepanjang lima tahun lalu dengan 318 bayi mati, manakala 253 pula ditemui masih hidup.