Sunday, February 19, 2012

30 SYARIKAT TERAS NIKMATI 'LALUAN HIJAU'

UNIT Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU) telah menghantar senarai kumpulan pertama 30 syarikat dalam program Perusahaan Kecil dan Sederhana Bumiputera Berprestasi Tinggi (TERAS) kepada beberapa kumpulan berkepentingan untuk

menyokong agenda membangunkan syarikat berkenaan sebagai syarikat berdaya maju pada peringkat domestik dan antarabangsa.

Ketua Eksekutifnya, Husni Salleh, berkata senarai syarikat terbabit telah dihantar kepada bahagian pemerolehan Kementerian Kewangan, syarikat berkaitan kerajaan (GLC), syarikat senaraian awam utama negara, beberapa agensi yang mengendalikan dana pemudah cara serta semua kerajaan negeri.

Senarai 30 syarikat itu dihantar kepada kumpulan berkepentingan bagi membantu mereka mencapai sasaran menjadi peserta antarabangsa, namun harus diingat bantuan diberikan adalah berdasarkan merit, katanya kepada Berita Harian di Petaling Jaya.

Beliau berkata, maklumat yang diberikan kepada pihak berkenaan adalah bagi membolehkan syarikat di bawah program TERAS menikmati kelebihan ‘laluan hijau’ dari segi pemberian maklumat mengenai kontrak, dana serta peluang perniagaan.

Bagaimanapun, kelebihan ‘laluan hijau’ itu hanya akan diberikan kepada syarikat yang mempunyai daya saing tinggi, pengurusan yang baik serta mempunyai produk atau perkhidmatan berpotensi tinggi, khususnya dalam sektor yang dikenal pasti dalam Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA), katanya.


TERAJU juga, katanya akan menambah jumlah syarikat Bumiputera ke dalam program TERAS kepada 600 tahun ini.

Syarikat yang mempunyai potensi tinggi pula, katanya akan dibantu diserapkan ke dalam program Skim Jejak Jaya Bumiputera (SJJB) bagi membolehkan mereka disenaraikan di Bursa Malaysia.

Pelaksanaan menyeluruh program ini akan membolehkan satu lagi sasaran TERAJU iaitu membangunkan modal insan bermutu tinggi. Penyertaan syarikat Bumiputera dalam sektor berdaya saing akan membuka peluang pekerjaan yang membabitkan pendapatan dan set kemahiran lebih tinggi, katanya.

Program TERAS diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada 26 November lalu, sempena pelancaran Hala Tuju Transformasi Ekonomi Bumiputera.

TERAJU dipertanggungjawabkan mengenal pasti syarikat Bumiputera berpotensi tinggi dan membantu ia mencapai peningkatan perniagaan dengan memberi peluang perniagaan berasaskan merit.

Syarikat yang dipilih menyertai program itu akan mendapat akses kepada peluang perniagaan baru, pembiayaan, guna tenaga berbakat, perkhidmatan nasihat perniagaan dan penyertaan perolehan kerajaan secara keutamaan membuat bidaan.

Setakat tahun lalu, 30 syarikat pertama yang terpilih menyertai TERAS itu berjaya menjana pendapatan sebanyak RM900 juta, manakala purata bilangan pekerja pula adalah seramai 3,350 orang.

TERAJU ditubuhkan sebagai satu unit di bawah Jabatan Perdana Menteri dan melapor terus kepada Perdana Menteri serta Majlis Tindakan Agenda Bumiputera (MTAB), yang juga dipengerusikan Najib.

Matlamat penubuhannya untuk menerajui, memacu serta menyelaras agenda Bumiputera iaitu sebahagian daripada Pelan Transformasi Negara ke arah negara maju, berpendapatan tinggi, berdaya tahan serta berdaya saing.

Berita disunting daripada Berita Harian

No comments:

Post a Comment