Sunday, March 25, 2012

KUALA LUMPUR PERINTIS TRANSFORMASI KEPOLISAN

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) memilih Kuala Lumpur sebagai bandar raya perintis bagi program kepolisan bertaraf antarabangsa sebagai salah satu langkah untuk menjadikan ibu kota sebagai bandar paling selamat didiami.


Pemilihannya adalah sebahagian daripada pelan transformasi pasukan polis untuk memantapkan mutu perkhidmatan kepada rakyat negara ini. Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohmad Salleh, berkata program itu akan dijalankan dalam masa terdekat sebagai eksperimen dan contoh kepada bandar raya lain di negara ini. Fokus utama adalah memantapkan kecekapan anggota polis dengan memilih anggota yang terbaik untuk mengisi 300 jawatan dalam 15 peranan paling kritikal di Kuala Lumpur. - Mohmad Salleh, Ketua Polis Kuala Lumpur Ketua Polis Negara sendiri mahukan kita berubah daripada sistem tradisional kepada yang lebih moden bagi memberi keyakinan kepada masyarakat bahawa PDRM kini selangkah di hadapan.

Terbaru satu formulasi sedang dijalankan dengan PDRM sedang meneliti amalan kepolisan di New York dan Philadelphia di Amerika Syarikat selain Sweden, England, Hong Kong dan Singapura untuk dicontohi dalam menjadikan PDRM mencapai standard kepolisan antarabangsa.

Empat perkara yang akan ditekankan dalam program berkenaan ialah memperkemaskan modal insan, sistem penyampaian perkhidmatan, menambahbaik keperluan logistik dan memantapkan komuniti kepolisan. Bagi sudut memperkemaskan modal insan, fokus utama adalah memantapkan kecekapan anggota polis dengan memilih anggota yang terbaik untuk mengisi 300 jawatan dalam 15 peranan paling kritikal di Kuala Lumpur. Bagi aspek penyampaian perkhidmatan, fokus utama adalah menambahbaik siasatan polis agar keyakinan umum meningkat dan mengurangkan kejadian jenayah.

Selain itu, Mohmad berkata PDRM turut sedang berusaha meningkatkan taraf logistik termasuk mengadakan kerjasama dengan lebih 1,000 premis perniagaan untuk mendapatkan akses kamera litar tertutup (CCTV) untuk menjalankan pemantauan jenayah di lokasi panas selain meningkatkan kehadiran kereta peronda polis. Dari segi komuniti kepolisan pula, PDRM akan memperbanyakkan lagi saluran komunikasi dengan pelbagai pihak yang berkepentingan antaranya masyarakat tempatan, media dan pelancong.

Kerjasama dengan pemilik 1,000 premis perniagaan untuk mendapatkan akses kamera litar tertutup dijangka mampu meningkatkan usaha memantau kegiatan jenayah di lokasi panas, selain kehadiran kereta peronda polis.

Berita Disunting Daripada Sumber : Berita Harian

Monday, February 20, 2012

PENGGUNAAN KAD DEBIT NAIK

PERBELANJAAN menggunakan kad debit Maybank bagi tempoh November 2010 sehingga Disember lalu meningkat lebih daripada 20 peratus, sekali gus mencerminkan penerimaan pengguna terhadap kaedah pembayaran seumpama itu di negara ini.

Malayan Banking Bhd dalam kenyataannya berkata, bilangan pemegang kad debit turut mengukuh lebih daripada lapan peratus dalam tempoh sama.

Naib Presiden Eksekutif dan Ketua Bahagian Kad, Kekayaan dan Pembayarannya, B Ravintharan, berkata pertumbuhan keseluruhan dalam penggunaan kad debit, termasuk perbelanjaan di luar negara, menunjukkan pengguna semakin sedar mengenai keperluan, keselesaan dan keselamatan berbelanja menggunakan kad debit.

Ravintharan berkata, Maybank turut menganggarkan yang perbelanjaan menggunakan kad debit akan berkembang 60 peratus tahun ini, didorong menerusi promosi baru serta lebih banyak kempen dan program kesedaran pengguna.

Perbelanjaan kad debit Maybank mengukuh 24 peratus dari April hingga September tahun lalu berbanding tempoh sama tahun sebelumnya, dirangsang penganjuran kempen ‘Gunakan Debit Kad & Pandu Pulang Volkswagen (VW) Polo.’


Berita disunting daripada Berita Harian

LATIHAN KERJA PEMBANTU RUMAH 200 JAM DIPANTAU

KUALA LUMPUR: Kementerian Sumber Manusia akan memantau dari semasa ke semasa sesi latihan kerja wajib selama 200 jam yang diikuti lebih 50,000 pembantu rumah warga Indonesia sebelum dihantar bekerja ke negara ini.


Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Maznah Mazlan berkata, selain menghantar pegawai kementerian itu, proses pemantauan juga dilakukan Jawatankuasa Bertindak yang ditubuhkan untuk pengambilan pembantu rumah asing itu. Pemantauan itu perlu bagi memastikan modul yang diberikan dipatuhi dan dapat diikuti warga Indonesia yang mahu bekerja di negara ini. Prestasi peserta latihan akan menjamin sama ada mereka akan memperoleh Sijil Kemahiran Kompentensi dan seterusnya berpeluang mendapat kerja.

Sebelum ini, Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Dr S Subramaniam memaklumkan kumpulan pertama pembantu rumah warga Indonesia dijangka dibawa masuk ke negara ini mulai akhir Februari ini atau awal Mac. Sebelum ini, Indonesia membekukan kemasukan amah ke Malaysia sejak Jun 2009 berikutan beberapa kes penderaan dan penganiayaan terhadap pembantu rumah negara itu.

Bagaimanapun, hasil pertemuan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Presiden Indonesia, Susilo Bambang Yudhoyono pada Perundingan Tahunan Malaysia Indonesia kali ke-8 di Lombok, Indonesia, tahun lalu, keputusan itu ditarik balik. Maznah berkata, latihan menumpukan beberapa aspek termasuk kerja asas pembantu rumah seperti mencuci, menjaga bayi, menggunakan peralatan elektrik dan mengenali serta memahami budaya masyarakat di negara ini.

Mengenai gaji, katanya, kerajaan tidak pernah bersetuju dengan sebarang kadar gaji, sebaliknya memberi kelonggaran kepada majikan untuk berbincang dengan pekerja berhubung perkara itu. Tidak jadi masalah sebanyak mana gaji yang diberi dengan syarat ia dipersetujui majikan dan pembantu rumah.

Beliau mengingatkan majikan supaya mendapatkan khidmat 121 agensi pekerja asing yang dipilih kementerian kerana kos yang ditetapkan adalah RM4,511 termasuk RM2,711 ditanggung majikan dan RM1,800 ditanggung pekerja itu.

Berita Disunting Daripada Sumber : Berita Harian

Sunday, February 19, 2012

RAKYAT MALAYSIA GEMAR BERBELANJA

TABIAT berbelanja memang agak sinonim di kalangan rakyat negara ini khususnya apabila menjelang musim perayaan. Iklan jualan murah serta pelbagai potongan harga yang menarik sering kelihatan disiarkan sebagai pelaris sesuatu promosi barangan itu.



Namun, aliran perbelanjaan tidak terhad kepada pembelian barangan saja malahan, sektor perkhidmatan seperti pelancongan dan perhotelan serta automotif juga mendapat manfaat daripada sikap rakyat Malaysia yang suka berbelanja.

Perangkaan seperti Kecenderungan Marginal untuk Kepenggunaan (MPC) iaitu statistik yang mengukur kecenderungan bagi isi rumah berbelanja bagi setiap ringgit kenaikan dalam pendapatan jelas menunjukkan rakyat Malaysia berada dalam kumpulan yang mempunyai kecenderungan tinggi ke arah itu.

Selain itu, kajian Bank Negara Malaysia menunjukkan pengguna di negara ini telah mengalami perubahan dalam tabiat perbelanjaan dengan perbelanjaan terhadap barang bukan keperluan seperti restoran dan hotel, komunikasi, rekreasi dan kebudayaan telah meningkat berbanding perbelanjaan terhadap keperluan asas.

Perkara ini di sebabkan peningkatan dalam pendapatan boleh guna serta faktor pengumpulan kekayaan.

Persoalannya, adakah ini sesuatu yang sihat bagi ekonomi negara? Sebagai negara yang mempunyai sistem ekonomi terbuka, ancaman seperti kelembapan ekonomi dunia akan memberi kesan langsung terhadap prestasi eksport serta sektor pembuatan atau perkilangan.


Dari sudut perniagaan, kecenderungan untuk berbelanja oleh isi rumah jelas menunjukkan negara mampu menawarkan peluang perniagaan yang baik.

Kecenderungan berbelanja ini akan memastikan permintaan kekal terhadap barangan atau perkhidmatan yang dikeluarkan. Ia sekali gus akan mewujudkan peluang pekerjaan jika pernigaan memilih negara kita sebagai hub pengeluaran mereka.

Sebagai contoh, rangkaian peruncitan hiper serta jenama kenderaan dari Jepun sudah lama bertapak di negara ini dan pelbagai peluang pekerjaan juga di wujudkan hasil daripada pelaburan asing oleh syarikat ini. Namun, tabiat berbelanja seharusnya berlaku secara seimbang supaya tidak menggalakkan pembaziran akibat perbelanjaan yang melebihi had.

Setiap individu harus mempunyai belanjawan bulanan serta memantau setiap perbelanjaan dikeluarkan supaya tidak dibebani hutang kad kredit berlebihan.

Selain itu, kadar inflasi tinggi juga akan menyebabkan pendapatan boleh guna individu berkurangan. Kajian Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER) menunjukkan kenaikan harga barangan menyebabkan pengguna lebih berhati-hati dalam perbelanjaan mereka.

Perbelanjaan yang berhemah seharusnya menjadi dasar teras bagi sesebuah isi rumah menjamin kedudukan kewangan yang baik. Sehubungan itu, kerajaan mengambil langkah bijak memperkenalkan Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) yang ketujuh iaitu berkaitan usaha memerangi kos kehidupan yang kian meningkat.

Jika usaha ini dapat dijayakan, sumber pertumbuhan ekonomi seperti perbelanjaan swasta akan dapat diperkukuhkan, sekaligus mampu untuk mengekang ancaman kelembapan ekonomi dunia.




Berita disunting daripada sumber : Berita Harian

30 SYARIKAT TERAS NIKMATI 'LALUAN HIJAU'

UNIT Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU) telah menghantar senarai kumpulan pertama 30 syarikat dalam program Perusahaan Kecil dan Sederhana Bumiputera Berprestasi Tinggi (TERAS) kepada beberapa kumpulan berkepentingan untuk

menyokong agenda membangunkan syarikat berkenaan sebagai syarikat berdaya maju pada peringkat domestik dan antarabangsa.

Ketua Eksekutifnya, Husni Salleh, berkata senarai syarikat terbabit telah dihantar kepada bahagian pemerolehan Kementerian Kewangan, syarikat berkaitan kerajaan (GLC), syarikat senaraian awam utama negara, beberapa agensi yang mengendalikan dana pemudah cara serta semua kerajaan negeri.

Senarai 30 syarikat itu dihantar kepada kumpulan berkepentingan bagi membantu mereka mencapai sasaran menjadi peserta antarabangsa, namun harus diingat bantuan diberikan adalah berdasarkan merit, katanya kepada Berita Harian di Petaling Jaya.

Beliau berkata, maklumat yang diberikan kepada pihak berkenaan adalah bagi membolehkan syarikat di bawah program TERAS menikmati kelebihan ‘laluan hijau’ dari segi pemberian maklumat mengenai kontrak, dana serta peluang perniagaan.

Bagaimanapun, kelebihan ‘laluan hijau’ itu hanya akan diberikan kepada syarikat yang mempunyai daya saing tinggi, pengurusan yang baik serta mempunyai produk atau perkhidmatan berpotensi tinggi, khususnya dalam sektor yang dikenal pasti dalam Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA), katanya.


TERAJU juga, katanya akan menambah jumlah syarikat Bumiputera ke dalam program TERAS kepada 600 tahun ini.

Syarikat yang mempunyai potensi tinggi pula, katanya akan dibantu diserapkan ke dalam program Skim Jejak Jaya Bumiputera (SJJB) bagi membolehkan mereka disenaraikan di Bursa Malaysia.

Pelaksanaan menyeluruh program ini akan membolehkan satu lagi sasaran TERAJU iaitu membangunkan modal insan bermutu tinggi. Penyertaan syarikat Bumiputera dalam sektor berdaya saing akan membuka peluang pekerjaan yang membabitkan pendapatan dan set kemahiran lebih tinggi, katanya.

Program TERAS diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada 26 November lalu, sempena pelancaran Hala Tuju Transformasi Ekonomi Bumiputera.

TERAJU dipertanggungjawabkan mengenal pasti syarikat Bumiputera berpotensi tinggi dan membantu ia mencapai peningkatan perniagaan dengan memberi peluang perniagaan berasaskan merit.

Syarikat yang dipilih menyertai program itu akan mendapat akses kepada peluang perniagaan baru, pembiayaan, guna tenaga berbakat, perkhidmatan nasihat perniagaan dan penyertaan perolehan kerajaan secara keutamaan membuat bidaan.

Setakat tahun lalu, 30 syarikat pertama yang terpilih menyertai TERAS itu berjaya menjana pendapatan sebanyak RM900 juta, manakala purata bilangan pekerja pula adalah seramai 3,350 orang.

TERAJU ditubuhkan sebagai satu unit di bawah Jabatan Perdana Menteri dan melapor terus kepada Perdana Menteri serta Majlis Tindakan Agenda Bumiputera (MTAB), yang juga dipengerusikan Najib.

Matlamat penubuhannya untuk menerajui, memacu serta menyelaras agenda Bumiputera iaitu sebahagian daripada Pelan Transformasi Negara ke arah negara maju, berpendapatan tinggi, berdaya tahan serta berdaya saing.

Berita disunting daripada Berita Harian

JENAYAH PEMERDAGANGAN TURUN

KUALA LUMPUR: Usaha membanteras jenayah pemerdagangan manusia oleh Malaysia sejak 2009 mula menunjukkan kesan memberangsangkan apabila jumlah kes jenayah rentas sempadan itu menurun setiap tahun.

Perangkaan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menunjukkan sepanjang 2011 hanya 116 kes dilaporkan di seluruh negara, iaitu penurunan 16 kes berbanding 132 pada 2010 dengan keseluruhannya 218 mangsa diselamatkan berbanding 471 pada tahun sebelumnya.

Pada masa sama, seramai 159 orang ditangkap sepanjang tahun lalu kerana disyaki terbabit dalam kegiatan pemerdagangan orang berbanding 195 pada 2011.

Malaysia meningkatkan usaha membanteras pemerdagangan manusia secara serius selepas Amerika Syarikat (AS) meletakkan Malaysia sebagai satu daripada 17 negara pada Tahap Tiga Laporan Pemerdagangan Manusia, iaitu mempunyai rekod buruk dalam jenayah itu.

Bagaimanapun, berikutan kejayaannya sejak 2009, pada 2010 AS menaik taraf Malaysia ke Tahap Dua.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Bakri Zinin, berkata pencapaian itu bukan saja menunjukkan pembanterasan kegiatan pemerdagangan orang yang lebih berkesan, malah PDRM dengan kerjasama pelbagai agensi lain turut berjaya melakukan tangkapan berkualiti.

Ia termasuk penahanan dalang utama dalam kegiatan jenayah terancang itu, khususnya membabitkan kes eksploitasi seks, perkhidmatan buruh paksa, penyeludupan dan eksploitasi untuk visa serta sindiket penjualan bayi.

Katanya daripada 159 kes yang ditumpaskan pada 2011, 52 membabitkan eksploitasi seks, 45 perkhidmatan buruh paksa, 10 kes penyeludupan dan eksploitasi untuk visa serta sembilan tangkapan penjualan bayi dengan 132 tangkapan membabitkan rakyat Malaysia, 11 Myanmar dan enam warga Indonesia. Dalam tempoh sama, 55 mangsa warga Myanmar diselamatkan daripada cengkaman penjenayah pemerdagangan orang, selain 54 Indonesia dan 38 dari Pakistan dengan kebanyakannya wanita.

Sementara itu, Mohd Bakri berkata, Bahagian Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) Bukit Aman menahan 11,832 wanita warga asing yang terbabit dalam pelacuran sepanjang tahun lalu, dengan 5,922 adalah warga China, Vietnam (2,169) dan Thailand (1,492), menurun berbanding 11,919 tangkapan pada 2010.

Bagaimanapun, katanya, tangkapan wanita tempatan pula menunjukkan peningkatan ketara apabila 1,801 ditahan pada 2011 berbanding hanya 1,060 tahun sebelumnya.

Mereka mendapati, sindiket kini mengubah modus operandi dengan membawa masuk wanita Timur Tengah bagi mengaburi pihak berkuasa selain permintaan pelanggan.

Mohd Bakri berkata, D7 Bukit Aman bersama Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) seluruh negara, melakukan 34,865 serbuan ke atas premis judi haram tahun lalu dengan 24,962 tangkapan, masing-masing peningkatan lebih 10,000 dan 4,000 serbuan serta tangkapan berbanding 2010.

Katanya bagi 2012, mereka memutuskan turut membawa kaki judi ke mahkamah untuk didakwa, berbanding hanya pengendali perjudian atau premis sebelum ini.

Disunting Daripada Berita Harian