Tuesday, August 23, 2011

PUNCA KEMALANGAN JALAN RAYA

FAKTOR kemalangan jalan raya khususnya setiap kali pada musim perayaan seakan tiada penghujungnya.

Biarpun pelbagai kempen keselamatan jalan raya dilakukan pelbagai pihak sebelum ini, namun kemalangan dan angka korban yang dicatatkan terus meningkat saban tahun.

Sebagai perbandingan statistik kematian akibat kemalangan jalan raya pada tahun 2010 ialah sebanyak 6,260, meningkat sebanyak 42 orang berbanding tahun 2009.

Begitu juga peningkatan kadar kemalangan yang meningkat kepada 414,421 berbanding 397,330 pada tahun yang sama.

Ketua Pengarah Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR), Gerald Leslie Leon berkata, peningkatan kenderaan di atas jalan raya pada musim perayaan antara punca kepada peningkatan kadar kemalangan yang dicatatkan.

"Apabila bilangan kenderaan bertambah sehingga dua hingga tiga kali ganda di atas jalan raya, ia pasti meningkatkan risiko kemalangan," katanya semasa pelancaran Kempen Keselamatan Proton 1Malaysia baru-baru ini.

Katanya, usaha untuk mengatasi masalah ini tidak seharusnya terletak di bahu kerajaan semata-mata sebaliknya harus dipikul semua pihak.

Tambah beliau lagi, berdasarkan statistik Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros), terdapat tiga faktor yang menyumbang kepada kemalangan jalan raya.

"Pertama ialah sikap manusia iaitu sebanyak 67 peratus, faktor jalan raya (28 peratus) dan kenderaan (lima peratus).

"Jelas sekali sikap manusia menjadi faktor utama. Oleh yang demikian, pengguna jalan raya yang ingin pulang ke kampung semasa musim perayaan ini dinasihatkan supaya mengamalkan sikap berhemah dan tidak terburu-buru untuk tiba ke destinasi," ujarnya.

Katanya, beliau memuji beberapa usaha yang dilakukan oleh pihak pengeluar kenderaan yang mengadakan kempen keselamatan jalan raya terhadap pengguna sempena ketibaan Aidilfitri nanti

Wednesday, August 10, 2011

KUAT KUASA UNDANG-UNDANG VANDALISME


KUALA LUMPUR 10 Ogos - Warga kota mahu kerajaan bertindak tegas terhadap mereka yang melakukan vandalisme terutama golongan yang menampal iklan-iklan haram di merata-rata tempat.

Kata mereka, selagi kerajaan tidak 'membersihkan' orang-orang yang bertanggungjawab menampal iklan-iklan itu, selagi itulah kerajaan terpaksa bertindak membersihkan iklan-iklan itu.

Kata mereka lagi, kegiatan itu juga sudah berada di tahap kronik dan pendekatan berlembut sudah tidak lagi sesuai digunakan, sebaliknya golongan itu hanya layak diheret ke mahkamah.

Orang ramai yang ditemui berharap agar tindakan dan undang-undang bagi kesalahan vandalisme itu dapat diperketatkan supaya tiada siapa yang berani melanggarnya serta mampu memberi kesedaran pada orang lain.

Seorang pemilik galeri seni lukis, Norehan Kassim, 50, berkata, gejala vandalisme jelas menunjukkan kesedaran sivik di kalangan masyarakat masa kini sangat cetek.

Sehubungan itu, katanya, kerajaan harus lebih tegas dan bersungguh-sungguh dalam menguatkuasakan undang-undang supaya kegiatan itu tidak berulang, selain menyusun semula sistem pendidikan sivik negara.

"Kita lihat Singapura, tahap kebersihannya amat tinggi kerana undang-undang yang tegas dikenakan yang menyebabkan rakyatnya tidak berani untuk membuat vandalisme.

"Saya yakin kalau undang-undang di negara ini dikuatkuasakan dengan lebih tegas, maka kegiatan vandalisme pasti akan dapat dikurangkan," katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.

Sementara itu, seorang pesara, Goh Kee Boon, 57, berkata, iklan-iklan haram yang dilekatkan di merata-rata tempat sememangnya amat menjengkelkan untuk dipandang.

"Pada pandangan saya, mungkin pihak berkuasa perlu menempatkan pegawai tanpa uniform untuk memantau, seterusnya menangkap mereka yang menampal iklan haram ini," jelasnya.

Monday, August 8, 2011

SISTEM PANGKALAN DATA ISU-ISU SOSIAL

KUALA LUMPUR 8 Ogos – Sistem Pangkalan Data Isu-Isu Sosial (SPDIIS) yang dibangunkan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat akan menjadi rujukan penting bagi semua polisi, dasar atau program yang akan dilaksanakan kementerian itu kelak.

Menterinya, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata, pangkalan data itu juga akan meningkatkan keupayaan kementerian untuk melaksanakan strategi-strategi memperkasakan kumpulan sasarnya secara berpusat dan lebih berkesan.

“Kutipan data berhubung masalah atau isu-isu sosial bukan mudah untuk dilakukan, jadi kementerian membuat keputusan, kita kena masuk fasa kedua pelan strategik ICT (teknologi maklumat dan komunikasi) kementerian iaitu dengan melancarkan SPDIIS,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan SPDIIS yang dikendalikan oleh Institut Sosial Malaysia (ISM) di sini, hari ini.

Shahrizat berkata, SPDIIS yang mula dibangunkan pada Oktober 2010 mengintegrasikan pelbagai sistem maklumat dari semua agensi di bawah kementerian itu bagi memudahkan capaian kepada data serta membuat analisis berhubung isu-isu sosial.

“Sistem yang telah diintegrasikan antaranya eBantuan, eJKM, Sistem Maklumat Orang Kurang Upaya (SMOKU) Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM),” katanya.

Shahrizat berkata, sistem itu turut dihubungkan dengan program eMamogram, POPNet dan Sistem Maklumat Kesihatan Reproduktif (RHIS) di bawah Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN).

“Di samping itu, program eKhasNita di bawah Jabatan Pembangunan Wanita serta Sistem Pengurusan Latihan Bersepadu (SPLB) di bawah ISM turut dihubungkan kepada SPDIIS,” katanya.

Terdahulu, dalam ucapannya, Shahrizat berkata, sebagai perancangan masa depan, sistem itu bakal dihubungkan dengan data dan maklumat sosial penting yang wujud di bawah agensi-agensi kerajaan lain seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kementerian Pengajian Tinggi, Kementerian Kesihatan dan Kementerian Sumber Manusia.

“ISM akan mengutip segala data berkaitan dan kita mulakan dengan kementerian dahulu. Apabila ada data yang tepat, jelas dan bertanggungjawab, maka kita boleh buat polisi atau program serta mengenal pasti masalah sosial yang ada. Ini adalah tindakan strategik kementerian,” katanya.

Tuesday, August 2, 2011

RANGKAIAN KERJASAMA BANTERAS JENAYAH


hishammuddin2

PUTRAJAYA: Semua agensi penguat kuasa yang terbabit dalam pembanterasan jenayah harus memantapkan rangkaian kerjasama menerusi perkongsian data serta maklumat untuk manfaat bersama kerana landskap jenayah masa kini sudah banyak berubah dan tidak lagi terbatas sempadan antarabangsa.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata bukan saja agensi, jabatan atau kementerian, sebaliknya mana-mana negara sekali pun tidak boleh lagi bekerja secara bersendirian jika mahu membanteras kegiatan jenayah yang kini lebih kerap membabitkan sindiket antarabangsa yang beroperasi secara global.
Katanya Agensi penguat kuasa kita, termasuk yang di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN), memiliki kecanggihan teknologi dan peralatan moden bagi menangani jenayah tetapi mereka tidak berkongsi hasil risikan, data atau maklumat antara satu sama lain pada tahap kita inginkan.
Jenayah penyeludupan dadah, manusia dan senjata, pemerdagangan manusia, pengubahan wang haram, kegiatan pengganas serta serangan penggodam internet membabitkan bidang kuasa pelbagai agensi kerajaan. Jika mereka tidak bekerjasama, mustahil jenayah seumpama ini dapat dibanteras. Pada masa sama, jalinan kerjasama dengan negara serantau dan pada peringkat antarabangsa juga amat penting bagi membanteras jenayah merentasi sempadan.
Pameran tiga hari bermula semalam itu diadakan tertutup, khusus untuk anggota pihak berkuasa serantau dan antarabangsa selain agensi kerajaan yang bertanggungjawab menjaga keselamatan negara.
Hishammuddin berkata, ancaman merentasi sempadan terhadap sesebuah negara tidak boleh ditangani bersendirian oleh kerajaan berkenaan, tetapi sebaliknya perlukan kerjasama dari segi guna sama teknologi terkini, perkongsian maklumat serta data, bermula dari negara asal, menuju negara transit, seterusnya destinasi akhir.
Beliau berkata, budaya kerja secara bersendirian oleh pihak polis, Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Kastam Diraja Malaysia (KDRM), Jabatan Imigresen dan Bank Negara selama ini harus berubah mengikut perkembangan semasa kegiatan jenayah antarabangsa.
Pada dasarnya, kata beliau, keengganan berkongsi maklumat atau data hanya membantutkan usaha membanteras jenayah tetapi pada masa yang sama, mengingatkan semua agensi penguat kuasa yang bekerjasama supaya sentiasa mengutamakan ketenteraman awam serta keselamatan nasional dan jangan sekali-kali membocorkan rahsia kerajaan.
Di Malaysia, kita sudah merintis kerjasama antara pihak polis dan ATM dari segi mengadakan latihan dan rondaan bersama, tanpa memerlukan sebarang pembiayaan baru atau peruntukan tambahan. Ini boleh kita perluaskan merangkumi agensi lain di bawah KDN.
Katanya jika kita lihat, ancaman yang dihadapi dunia tidak seperti dulu, serangan 11 September terhadap menara berkembar di Amerika Syarikat umpamanya dilakukan oleh orang awam menggunakan pesawat komersial dan sasarannya bukan sasaran tentera, sebaliknya orang ramai. Ini bermakna kita terpaksa memerangi musuh yang tidak kita nampak, tidak tahu bila kita akan menjadi mangsa dan perlukan kerjasama semua pihak bagi menanganinya dengan berkesan.
Disunting Daripada Berita Harian

Monday, August 1, 2011

FORMULA 1:3:7


pelajar-merokok

KUALA LUMPUR: Berikutan kelewatan menangani beberapa kes disiplin di sekolah sejak kebelakangan ini, Kementerian Pelajaran menetapkan supaya kes disiplin murid wajib diselesaikan dalam tempoh tujuh hari pada semua peringkat.


Tempoh itu bagi penyelesaian kes dalam bidang kuasa pentadbiran sekolah, pejabat pelajaran daerah (PPD) dan jabatan pelajaran negeri (JPN), di bawah pelaksanaan Prosedur Operasi Standard (SOP) 1:3:7 (hari pertama, ketiga, ketujuh) Pelaporan Dan Tindakan Menangani Isu Disiplin Murid.


Penyelesaian itu termasuk tindakan perlu diambil mahu pun hukuman atau penyelesaian lain yang sudah dilakukan selain memaksimumkan kepuasan hati pihak terbabit.

Bagaimanapun jika kes itu membabitkan pihak berkuasa lain seperti pendakwaan di mahkamah, maka tempoh proses terbabit tidak dikira dalam pelaksanaan SOP berkenaan.

Berdasarkan SOP itu, insiden yang memerlukan kesegeraan dihantar kepada Kementerian Pelajaran pada hari pertama meliputi kes berunsur jenayah, kelucahan melampau, keracunan makanan, kemalangan serius, bencana, buli, pergaduhan, isu perkauman, pandemik (contohnya H1N1), histeria atau isu lain yang perlu dilaporkan segera pada pandangan pengetua atau guru besar.

Panduan pelaksanaan SOP itu terkandung dalam Surat Pekeliling Ikhtisas Bilangan 7 Tahun 2011 bertarikh 28 Jun lalu yang ditandatangani Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Abd Ghafar Mahmud, serta dimuat naik dalam laman web Kementerian Pelajaran sejak Selasa lalu.

Abd Ghafar berkata, ada kes disiplin murid yang berlaku di sekolah lambat ditangani sehingga menimbulkan ketidakpuasan hati dan menjejaskan reputasi serta prestasi sesebuah sekolah, malah kementerian.

Katanya dalam surat pekeliling ikhtisas itu, ada juga kes atau insiden yang hanya dilaporkan kepada kementerian selepas beberapa hari berlaku atau selepas diminta kementerian. Hal ini menggambarkan kelemahan pengurusan semua peringkat dalam menangani isu ini.

Sejak kebelakangan ini, ada isu disiplin murid yang disiarkan di media massa terlebih dulu, membuktikan kelewatan JPN/PPD melaporkan kes itu kepada kementerian.

Katanya sikap sesetengah pentadbir sekolah yang gagal bertindak segera menghubungi Kementerian Pelajaran amat dikesali dan perlu diperbetulkan.

Pelaksanaan SOP itu juga untuk menilai prestasi sesebuah sekolah, PPD dan JPN dengan mengambil kira pematuhan tahap kesegeraan tindakan bagi menangani masalah disiplin murid.

Mengikut SOP itu, laporan mengenai insiden disiplin murid hendaklah disampaikan segera oleh JPN kepada kementerian, iaitu pada hari kejadian jika berlaku di sekolah; pada hari kes tersebar melalui media massa jika berlaku di luar sekolah, ketika cuti atau di luar pengetahuan pihak sekolah; dan jika berlaku di luar sekolah atau ketika cuti di mana pihak sekolah mengetahuinya, maka hendaklah segera menyampaikan maklumat atau laporan kepada JPN.

Enam langkah yang mesti diambil sebagai tindakan dan penyelesaian kes disiplin iaitu pertama membabitkan sekolah - siasat kes, ambil tindakan awal, buat laporan awal ke PPD atau terus ke JPN (bagi negeri tiada PPD), manakala bagi kes atau insiden serius, sekolah perlu terus lapor ke JPN.

Langkah kedua (PPD) - menyemak maklumat daripada sekolah dan siasat, menghantar laporan awal ke JPN berserta ulasan dan pandangan awal PPD, membantu sekolah menyelesaikan masalah termasuk tindakan wajar, sementara bagi kes atau insiden serius, PPD boleh lapor terus kepada JPN atau kementerian.

Langkah ketiga (JPN) - menyemak maklumat daripada PPD dan siasat jika perlu, serta menghantar laporan awal ke kementerian berserta ulasan dan pandangan awal JPN.

Langkah keempat (JPN) - menjalankan siasatan selanjutnya dan menghantar laporan penuh kepada kementerian, termasuk tindakan yang sedang, akan atau sudah diambil oleh pihak terbabit.

Langkah kelima (kementerian melalui Bahagian Pengurusan Sekolah Harian/BPSH) - membuat ulasan dan pandangan terhadap laporan JPN, membawa laporan kepada Ketua Pengarah Pelajaran, jika perlu tindakan lanjut maklumkan kepada JPN untuk dibuat, dan JPN melaporkan semula kepada BPSH.

Langkah keenam (BPSH) - mengkaji laporan akhir JPN serta menentukan tindakan dari segi dasar operasi kementerian.


Berita disunting daripada sumber : Berita Harian

ENGGAN DICERAI PUNCA RAMAI WANITA TERTEKAN


bergaduh-depan-anak2

KUALA LUMPUR: Hidup berasingan dengan suami kerana tiada keserasian serta mahu mendapatkan hak penjagaan anak walaupun tidak mampu adalah antara yang sering dihadapi wanita sehingga menyebabkan mereka menghadapi tekanan perasaan.

Pakar sosiologi klinikal, Datuk Dr Wan Halim Othman, berkata berdasarkan pengalaman mengendalikan kursus konflik keluarga sejak 40 tahun lalu, ramai wanita yang enggan menerima kenyataan rumah tangga mereka sudah tidak boleh diselamatkan tetapi tidak mahu diceraikan.

Menurutnya ada kes wanita yang tinggal berjauhan dengan suami selama 20 tahun kerana tidak sanggup diceraikan. Ada yang sampai meninggal dunia hidup berasingan. Bagi kes seperti ini, dia sering nasihatkan mereka terus tinggal berasingan jika kedua-dua pihak tidak mahu berkahwin lain apabila bercerai. Wanita juga jangan terus terlalu berusaha memperbaiki hubungan itu.

Semalam, Berita Harian melaporkan mengenai faktor yang mendorong wanita di Malaysia mengalami tekanan perasaan termasuk curiga suami mempunyai wanita lain, anak tidak pandai dalam pelajaran dan tidak bekerja, selain wanita bekerja yang terpaksa bekerja dua kali ganda untuk mendapatkan pengiktirafan majikan, berbanding lelaki.

Dr Wan Halim berkata, ada juga kes ibu tunggal yang mengalami tekanan perasaan bertahun-tahun akibat dipukul suami dan selepas suaminya meninggal dunia, dipukul pula anaknya. Jika isteri dipukul suami, mereka mesti cuba melawan kerana jika tidak, anak akan melihat ibunya tidak kisah dipukul. Dia simpati melihat golongan yang datang meluahkan perasaan seperti sudah tidak ada harapan lagi untuk hidup.

Beliau juga berkata, ibu tunggal yang tidak mampu menjaga anak perlu melepaskan hak penjagaan kepada suami kerana keinginan untuk menuntut hak itu walaupun berdepan kekangan kewangan menyebabkan tekanan perasaan yang kronik.

Disunting Daripada Berita Harian