Monday, August 8, 2011

SISTEM PANGKALAN DATA ISU-ISU SOSIAL

KUALA LUMPUR 8 Ogos – Sistem Pangkalan Data Isu-Isu Sosial (SPDIIS) yang dibangunkan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat akan menjadi rujukan penting bagi semua polisi, dasar atau program yang akan dilaksanakan kementerian itu kelak.

Menterinya, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata, pangkalan data itu juga akan meningkatkan keupayaan kementerian untuk melaksanakan strategi-strategi memperkasakan kumpulan sasarnya secara berpusat dan lebih berkesan.

“Kutipan data berhubung masalah atau isu-isu sosial bukan mudah untuk dilakukan, jadi kementerian membuat keputusan, kita kena masuk fasa kedua pelan strategik ICT (teknologi maklumat dan komunikasi) kementerian iaitu dengan melancarkan SPDIIS,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan SPDIIS yang dikendalikan oleh Institut Sosial Malaysia (ISM) di sini, hari ini.

Shahrizat berkata, SPDIIS yang mula dibangunkan pada Oktober 2010 mengintegrasikan pelbagai sistem maklumat dari semua agensi di bawah kementerian itu bagi memudahkan capaian kepada data serta membuat analisis berhubung isu-isu sosial.

“Sistem yang telah diintegrasikan antaranya eBantuan, eJKM, Sistem Maklumat Orang Kurang Upaya (SMOKU) Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM),” katanya.

Shahrizat berkata, sistem itu turut dihubungkan dengan program eMamogram, POPNet dan Sistem Maklumat Kesihatan Reproduktif (RHIS) di bawah Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN).

“Di samping itu, program eKhasNita di bawah Jabatan Pembangunan Wanita serta Sistem Pengurusan Latihan Bersepadu (SPLB) di bawah ISM turut dihubungkan kepada SPDIIS,” katanya.

Terdahulu, dalam ucapannya, Shahrizat berkata, sebagai perancangan masa depan, sistem itu bakal dihubungkan dengan data dan maklumat sosial penting yang wujud di bawah agensi-agensi kerajaan lain seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kementerian Pengajian Tinggi, Kementerian Kesihatan dan Kementerian Sumber Manusia.

“ISM akan mengutip segala data berkaitan dan kita mulakan dengan kementerian dahulu. Apabila ada data yang tepat, jelas dan bertanggungjawab, maka kita boleh buat polisi atau program serta mengenal pasti masalah sosial yang ada. Ini adalah tindakan strategik kementerian,” katanya.

No comments:

Post a Comment