Wednesday, August 10, 2011

KUAT KUASA UNDANG-UNDANG VANDALISME


KUALA LUMPUR 10 Ogos - Warga kota mahu kerajaan bertindak tegas terhadap mereka yang melakukan vandalisme terutama golongan yang menampal iklan-iklan haram di merata-rata tempat.

Kata mereka, selagi kerajaan tidak 'membersihkan' orang-orang yang bertanggungjawab menampal iklan-iklan itu, selagi itulah kerajaan terpaksa bertindak membersihkan iklan-iklan itu.

Kata mereka lagi, kegiatan itu juga sudah berada di tahap kronik dan pendekatan berlembut sudah tidak lagi sesuai digunakan, sebaliknya golongan itu hanya layak diheret ke mahkamah.

Orang ramai yang ditemui berharap agar tindakan dan undang-undang bagi kesalahan vandalisme itu dapat diperketatkan supaya tiada siapa yang berani melanggarnya serta mampu memberi kesedaran pada orang lain.

Seorang pemilik galeri seni lukis, Norehan Kassim, 50, berkata, gejala vandalisme jelas menunjukkan kesedaran sivik di kalangan masyarakat masa kini sangat cetek.

Sehubungan itu, katanya, kerajaan harus lebih tegas dan bersungguh-sungguh dalam menguatkuasakan undang-undang supaya kegiatan itu tidak berulang, selain menyusun semula sistem pendidikan sivik negara.

"Kita lihat Singapura, tahap kebersihannya amat tinggi kerana undang-undang yang tegas dikenakan yang menyebabkan rakyatnya tidak berani untuk membuat vandalisme.

"Saya yakin kalau undang-undang di negara ini dikuatkuasakan dengan lebih tegas, maka kegiatan vandalisme pasti akan dapat dikurangkan," katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.

Sementara itu, seorang pesara, Goh Kee Boon, 57, berkata, iklan-iklan haram yang dilekatkan di merata-rata tempat sememangnya amat menjengkelkan untuk dipandang.

"Pada pandangan saya, mungkin pihak berkuasa perlu menempatkan pegawai tanpa uniform untuk memantau, seterusnya menangkap mereka yang menampal iklan haram ini," jelasnya.

No comments:

Post a Comment