Tuesday, August 2, 2011

RANGKAIAN KERJASAMA BANTERAS JENAYAH


hishammuddin2

PUTRAJAYA: Semua agensi penguat kuasa yang terbabit dalam pembanterasan jenayah harus memantapkan rangkaian kerjasama menerusi perkongsian data serta maklumat untuk manfaat bersama kerana landskap jenayah masa kini sudah banyak berubah dan tidak lagi terbatas sempadan antarabangsa.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata bukan saja agensi, jabatan atau kementerian, sebaliknya mana-mana negara sekali pun tidak boleh lagi bekerja secara bersendirian jika mahu membanteras kegiatan jenayah yang kini lebih kerap membabitkan sindiket antarabangsa yang beroperasi secara global.
Katanya Agensi penguat kuasa kita, termasuk yang di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN), memiliki kecanggihan teknologi dan peralatan moden bagi menangani jenayah tetapi mereka tidak berkongsi hasil risikan, data atau maklumat antara satu sama lain pada tahap kita inginkan.
Jenayah penyeludupan dadah, manusia dan senjata, pemerdagangan manusia, pengubahan wang haram, kegiatan pengganas serta serangan penggodam internet membabitkan bidang kuasa pelbagai agensi kerajaan. Jika mereka tidak bekerjasama, mustahil jenayah seumpama ini dapat dibanteras. Pada masa sama, jalinan kerjasama dengan negara serantau dan pada peringkat antarabangsa juga amat penting bagi membanteras jenayah merentasi sempadan.
Pameran tiga hari bermula semalam itu diadakan tertutup, khusus untuk anggota pihak berkuasa serantau dan antarabangsa selain agensi kerajaan yang bertanggungjawab menjaga keselamatan negara.
Hishammuddin berkata, ancaman merentasi sempadan terhadap sesebuah negara tidak boleh ditangani bersendirian oleh kerajaan berkenaan, tetapi sebaliknya perlukan kerjasama dari segi guna sama teknologi terkini, perkongsian maklumat serta data, bermula dari negara asal, menuju negara transit, seterusnya destinasi akhir.
Beliau berkata, budaya kerja secara bersendirian oleh pihak polis, Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Kastam Diraja Malaysia (KDRM), Jabatan Imigresen dan Bank Negara selama ini harus berubah mengikut perkembangan semasa kegiatan jenayah antarabangsa.
Pada dasarnya, kata beliau, keengganan berkongsi maklumat atau data hanya membantutkan usaha membanteras jenayah tetapi pada masa yang sama, mengingatkan semua agensi penguat kuasa yang bekerjasama supaya sentiasa mengutamakan ketenteraman awam serta keselamatan nasional dan jangan sekali-kali membocorkan rahsia kerajaan.
Di Malaysia, kita sudah merintis kerjasama antara pihak polis dan ATM dari segi mengadakan latihan dan rondaan bersama, tanpa memerlukan sebarang pembiayaan baru atau peruntukan tambahan. Ini boleh kita perluaskan merangkumi agensi lain di bawah KDN.
Katanya jika kita lihat, ancaman yang dihadapi dunia tidak seperti dulu, serangan 11 September terhadap menara berkembar di Amerika Syarikat umpamanya dilakukan oleh orang awam menggunakan pesawat komersial dan sasarannya bukan sasaran tentera, sebaliknya orang ramai. Ini bermakna kita terpaksa memerangi musuh yang tidak kita nampak, tidak tahu bila kita akan menjadi mangsa dan perlukan kerjasama semua pihak bagi menanganinya dengan berkesan.
Disunting Daripada Berita Harian

No comments:

Post a Comment