Thursday, December 22, 2011

MALAYSIA TERTINGGI MASALAH OBESITI

MALAYSIA berada pada kedudukan tertinggi di kalangan negara ASEAN yang berhadapan dengan masalah obesiti, manakala yang keenam di rantau Asia Pasifik.





Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin, berkata masalah itu berpunca daripada pengambilan gula yang berlebihan di kalangan rakyat negara ini.

Rosnah menyeru supaya kita sebagai masyarakat harus menekankan betapa pentingnya menjaga kesihatan termasuk kadar pengambilan gula seharian yang menyumbang kepada diabates.


Rosnah berkata, berdasarkan kajian pengambilan gula di kalangan orang dewasa di negara ini pada 2002 dan 2003 mendapati, rakyat Malaysia mengambil 51 gram gula tambahan, berbanding 50 gram yang disarankan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Menjawab soalan asal daripada Datuk Md Sirat Abu (BN-Bukit Katil), Rosnah berkata, sebanyak 1,266 sampel makanan dianalisis pada 2009 untuk bahan pemanis dan 7.3 peratus atau 92 sampel daripadanya didapati melanggar standard yang ditetapkan.


Katanya pada 2010, sebanyak 2,004 sampel makanan dianalisis di mana 5.4 peratus bersamaan dengan 108 sampel didapati melanggar standard ditetapkan.

Beliau berkata, selain tindakan mahkamah terhadap pihak industri yang tidak bertanggungjawab, kerajaan juga mengeluarkan senarai produk yang melanggar Peraturan-Peraturan Makanan 1985.

Rosnah berkat, tindakan pihak kementerian adalah dengan melaksanakan pengambilan sampel dari semasa ke semasa untuk memastikan makanan yang dijual di pasaran adalah terdiri daripada makanan yang selamat dimakan.

TERJEBAK PENGARUH VIDEO, WEB LUCAH

KUALA LUMPUR: Seramai 152,182 anak luar nikah atau anak tak sah taraf direkodkan antara tahun 2008 dan 2010, kata Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Heng Seai Kie.

Statistik Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) menunjukkan Sabah mencatatkan kelahiran anak tak sah taraf tertinggi iaitu 41,490 orang, diikuti Selangor (18,983), Sarawak (17,570), Johor (16,298) dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (12,095). Beliau berkata, berdasarkan kerja kes yang dijalankan pegawai kebajikan masyarakat, antara punca yang menyumbang kepada kelahiran anak luar nikah termasuk pengaruh rakan sebaya, rela melakukan hubungan seks tanpa paksaan dan tidak mempunyai pengetahuan berhubung kesihatan reproduktif dan seksual.

Punca lain adalah kurangnya perhatian ibu bapa, menonton video dan laman web lucah, kurang didikan agama, perasaan ingin mencuba dan diperkosa saudara sendiri. Seai Kie berkata, antara langkah diambil kementerian bagi membendung gejala itu termasuk menggubal Dasar dan Pelan Tindakan Pendidikan Kesihatan Reproduktif dan Sosial (PKRS) Kebangsaan pada 2009, melancarkan kempen Kami Prihatin pada April 2010, menjalin kerjasama strategik dengan Jabatan Latihan Khidmat Negara bagi mengintegrasi PKRS bermula Julai lalu, menubuhkan enam pusat remaja kafe@TEEN yang memberi maklumat berkaitan isu psikososial dan perkhidmatan Talian Nur 15999.

Langkah ini diharap dapat membendung dan mengurangkan bilangan kes anak tak sah taraf, namun pembabitan dan komitmen semua pihak terutama ibu bapa dalam menangani isu ini amat diharapkan. Menjawab soalan tambahan Mohd Jidin mengenai tindakan terhadap pesalah sehingga melahirkan anak luar nikah, Seai Kie berkata, pasangan beragama Islam boleh didenda tidak lebih RM5,000 dan penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali mengikut Akta Kesalahan Jenayah Syariah Persekutuan 1967, sementara tiada tindakan bagi pasangan bukan Islam.

Bagi ibu yang melahirkan anak luar nikah di bawah 16 tahun (yang melakukan hubungan seksual) sama ada secara sukarela atau paksaan, mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan dianggap sebagai jenayah rogol dan jika lelaki yang melakukan jenayah itu melebihi 18 tahun, dia boleh disabitkan hukuman penjara antara lima hingga 20 tahun serta sebatan.

32 INDIVIDU DITAHAN BUANG BAYI TAHUN INI

KUALA LUMPUR: Sekurang-kurangnya 32 individu ditahan tahun ini kerana membuang bayi, menjadikan keseluruhan 63 individu ditangkap sepanjang dua tahun lalu, peningkatan ketara berbanding hanya 38 individu ditahan dalam


tempoh tiga tahun dari 2007 hingga 2009.

Tangkapan tahun ini, termasuk terbaru membabitkan wanita berusia 20 tahun yang ditahan kerana disyaki membuang bayi baru dilahirkannya ke dalam parit kebun sawit di Kampung Melayu Raja, Ledang, Johor, minggu lalu. Perangkaan terbaru Polis Diraja Malaysia (PDRM) juga menunjukkan jumlah tangkapan tahun ini melebihi 31 tangkapan sepanjang tahun lalu, dengan sebahagian besar suspek adalah wanita selain sebilangan kecil warga asing. Pada 2007, hanya lapan tangkapan direkod berbanding 76 kes pembuangan bayi, manakala 16 individu ditahan pada tahun berikutnya berbanding 102 kes dan pada 2009 pula, 11 tangkapan dicatat dari 79 kes buang bayi.

Daripada keseluruhan 94 tangkapan sepanjang lima tahun lalu, 19 individu sudah didakwa di mahkamah dengan 15 daripadanya wanita, manakala 12 dijatuhkan hukuman dengan sembilan perempuan. Bagaimanapun, perangkaan itu tempoh dua tahun menunjukkan jumlah tangkapan masih rendah berbanding keseluruhan kes pembuangan bayi dalam tempoh itu, iaitu 164 kes, termasuk 96 bayi ditemui sudah mati.

Mengulas mengenainya, Naib Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF), Tan Sri Lee Lam Thye, berkata tindakan proaktif pelbagai pihak perlu bagi ramai suspek kes buang bayi ditangkap. Katanya, cadangan banyak pihak supaya diwujudkan pangkalan data mencatatkan butiran lengkap kelahiran bayi dan ibu bapa di negara ini, termasuk rekod ujian asid deoksiribonukleik (DNA) perlu dilaksanakan segera dalam usaha mengesan pasangan yang membuang bayi.

Katanya kepada Berita Harian, adangan mewujudkan pangkalan data DNA sesuai dipertimbangkan kerana ia boleh membantu polis mengesan penjenayah termasuk kes buang bayi. Berita Harian sebelum ini melaporkan 73 kes pembuangan bayi, termasuk yang dibunuh kejam dicatatkan di seluruh negara antara Januari hingga Ogos tahun ini, menjadikan keseluruhan 571 kes direkodkan sepanjang lima tahun lalu dengan 318 bayi mati, manakala 253 pula ditemui masih hidup.

Tuesday, September 20, 2011

AWAS SETIAP PERKATAAN DALAM SOALAN KARANGAN

AWASI setiap perkataan dalam soalan karangan

DIPETIK DARI BLOG http://mysabak.blogspot.com

SEMUA guru berpesan supaya meneliti setiap perkataan dalam soalan peperiksaan. Setiap perkataan pula membawa maksud tertentu, dan pastinya membawa jawaban yang berbeda. Cuba perhatikan contoh dua soalan di bawah yang yang dibedakan dengan satu sahaja perkataan.

Soalan 1
Salah satu kesan aktiviti pemerdagangan manusia adalah mencemarkan imej negara di mata dunia. Pelbagai usaha perlu dilakukan untuk mengurangkan masalah tersebut. Bincangkan.

Soalan 2
Satu kesan aktiviti permerdagangan manusia adalah mencemarkan imej negara di mata dunia. Pelbagai usaha perlu dilakukan untuk mengurangkan masalah tersebut. Bincangkan.

Jawaban soalan 1 merangkumi
Kesan-kesan
1. Mencemarkan imej negara di mata dunia.
2. Menjejaskan hubungan diplomatik antara bangsa.

Langkah-langkah
3. Penguatkuasaan undang-undang.
4. Memperkatat kemasukan pelancong asing.

Jawaban soalan 2 merangkumi
Kesan
1. Mencemarkan imej negara di mata dunia.

Langkah-langkah
2. Penguatkuasaan undang-undang.
3. Memperketat kemasukan pelancong asing.
4. Koordinasi antara beberapa kementerian.

Tuesday, September 6, 2011

4 MENTERI MEMBINCANGKAN ISU KELDAI DADAH

KUALA LUMPUR: Tiga kementerian bersetuju dengan cadangan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil untuk mengadakan pertemuan bagi membincangkan

isu ramai warga Malaysia terpedaya dengan sindiket dadah antarabangsa hingga menjadi keldai dadah dan merengkuk dalam penjara di luar negara.

Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman, berkata kementeriannya menyambut baik cadangan Shahrizat dan bersedia bekerjasama mencari jalan membanteras ancaman jenayah sindiket dadah antarabangsa yang menyebabkan ramai warga Malaysia, terutama wanita terjerat selepas terpengaruh dengan janji manis warga asing, terutama dari Afrika.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata pihaknya sedia bertemu dan berbincang dengan kementerian itu bagi membanteras jenayah yang banyak memanipulasikan wanita dan pelajar hingga terjerat serta terpaksa menjadi keldai dadah.

Mengikut rekod kementerian, belum ada kes menunjukkan pelajar kulit hitam di negara ini terbabit dalam jenayah itu, namun Kementeria sedia mengambil tindakan jika terbukti ada antara mereka menjadi ejen sindiket itu.

Berita Harian semalam melaporkan Shahrizat akan membawa isu wanita menjadi mangsa sindiket dadah antarabangsa pada mesyuarat Kabinet dalam masa terdekat, selain mengadakan perbincangan dengan tiga kementerian berkaitan bagi menjalin kerjasama berhubung kes penipuan sindiket dadah antarabangsa yang banyak membabitkan wanita Malaysia sebagai mangsa kelicikan mereka.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, pula berkata, pihaknya menyambut baik cadangan mengadakan perbincangan antara empat kementerian berkenaan, apatah lagi sindiket dadah itu menggunakan wanita sebagai mangsa menyeludup dadah di luar negara.

Kementerian akan bekerjasama dengan semua pihak bagi membanteras jenayah antarabangsa yang menggunakan rakyat tempatan, termasuk perdagangan wanita dan kanak-kanak, selain kes keldai dadah hingga menyebabkan mereka terpaksa menjadi tahanan di penjara luar negara serta dijatuhkan hukuman mati.

Berita disunting daripada Berita Harian

Tuesday, August 23, 2011

PUNCA KEMALANGAN JALAN RAYA

FAKTOR kemalangan jalan raya khususnya setiap kali pada musim perayaan seakan tiada penghujungnya.

Biarpun pelbagai kempen keselamatan jalan raya dilakukan pelbagai pihak sebelum ini, namun kemalangan dan angka korban yang dicatatkan terus meningkat saban tahun.

Sebagai perbandingan statistik kematian akibat kemalangan jalan raya pada tahun 2010 ialah sebanyak 6,260, meningkat sebanyak 42 orang berbanding tahun 2009.

Begitu juga peningkatan kadar kemalangan yang meningkat kepada 414,421 berbanding 397,330 pada tahun yang sama.

Ketua Pengarah Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR), Gerald Leslie Leon berkata, peningkatan kenderaan di atas jalan raya pada musim perayaan antara punca kepada peningkatan kadar kemalangan yang dicatatkan.

"Apabila bilangan kenderaan bertambah sehingga dua hingga tiga kali ganda di atas jalan raya, ia pasti meningkatkan risiko kemalangan," katanya semasa pelancaran Kempen Keselamatan Proton 1Malaysia baru-baru ini.

Katanya, usaha untuk mengatasi masalah ini tidak seharusnya terletak di bahu kerajaan semata-mata sebaliknya harus dipikul semua pihak.

Tambah beliau lagi, berdasarkan statistik Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros), terdapat tiga faktor yang menyumbang kepada kemalangan jalan raya.

"Pertama ialah sikap manusia iaitu sebanyak 67 peratus, faktor jalan raya (28 peratus) dan kenderaan (lima peratus).

"Jelas sekali sikap manusia menjadi faktor utama. Oleh yang demikian, pengguna jalan raya yang ingin pulang ke kampung semasa musim perayaan ini dinasihatkan supaya mengamalkan sikap berhemah dan tidak terburu-buru untuk tiba ke destinasi," ujarnya.

Katanya, beliau memuji beberapa usaha yang dilakukan oleh pihak pengeluar kenderaan yang mengadakan kempen keselamatan jalan raya terhadap pengguna sempena ketibaan Aidilfitri nanti

Wednesday, August 10, 2011

KUAT KUASA UNDANG-UNDANG VANDALISME


KUALA LUMPUR 10 Ogos - Warga kota mahu kerajaan bertindak tegas terhadap mereka yang melakukan vandalisme terutama golongan yang menampal iklan-iklan haram di merata-rata tempat.

Kata mereka, selagi kerajaan tidak 'membersihkan' orang-orang yang bertanggungjawab menampal iklan-iklan itu, selagi itulah kerajaan terpaksa bertindak membersihkan iklan-iklan itu.

Kata mereka lagi, kegiatan itu juga sudah berada di tahap kronik dan pendekatan berlembut sudah tidak lagi sesuai digunakan, sebaliknya golongan itu hanya layak diheret ke mahkamah.

Orang ramai yang ditemui berharap agar tindakan dan undang-undang bagi kesalahan vandalisme itu dapat diperketatkan supaya tiada siapa yang berani melanggarnya serta mampu memberi kesedaran pada orang lain.

Seorang pemilik galeri seni lukis, Norehan Kassim, 50, berkata, gejala vandalisme jelas menunjukkan kesedaran sivik di kalangan masyarakat masa kini sangat cetek.

Sehubungan itu, katanya, kerajaan harus lebih tegas dan bersungguh-sungguh dalam menguatkuasakan undang-undang supaya kegiatan itu tidak berulang, selain menyusun semula sistem pendidikan sivik negara.

"Kita lihat Singapura, tahap kebersihannya amat tinggi kerana undang-undang yang tegas dikenakan yang menyebabkan rakyatnya tidak berani untuk membuat vandalisme.

"Saya yakin kalau undang-undang di negara ini dikuatkuasakan dengan lebih tegas, maka kegiatan vandalisme pasti akan dapat dikurangkan," katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.

Sementara itu, seorang pesara, Goh Kee Boon, 57, berkata, iklan-iklan haram yang dilekatkan di merata-rata tempat sememangnya amat menjengkelkan untuk dipandang.

"Pada pandangan saya, mungkin pihak berkuasa perlu menempatkan pegawai tanpa uniform untuk memantau, seterusnya menangkap mereka yang menampal iklan haram ini," jelasnya.

Monday, August 8, 2011

SISTEM PANGKALAN DATA ISU-ISU SOSIAL

KUALA LUMPUR 8 Ogos – Sistem Pangkalan Data Isu-Isu Sosial (SPDIIS) yang dibangunkan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat akan menjadi rujukan penting bagi semua polisi, dasar atau program yang akan dilaksanakan kementerian itu kelak.

Menterinya, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata, pangkalan data itu juga akan meningkatkan keupayaan kementerian untuk melaksanakan strategi-strategi memperkasakan kumpulan sasarnya secara berpusat dan lebih berkesan.

“Kutipan data berhubung masalah atau isu-isu sosial bukan mudah untuk dilakukan, jadi kementerian membuat keputusan, kita kena masuk fasa kedua pelan strategik ICT (teknologi maklumat dan komunikasi) kementerian iaitu dengan melancarkan SPDIIS,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan SPDIIS yang dikendalikan oleh Institut Sosial Malaysia (ISM) di sini, hari ini.

Shahrizat berkata, SPDIIS yang mula dibangunkan pada Oktober 2010 mengintegrasikan pelbagai sistem maklumat dari semua agensi di bawah kementerian itu bagi memudahkan capaian kepada data serta membuat analisis berhubung isu-isu sosial.

“Sistem yang telah diintegrasikan antaranya eBantuan, eJKM, Sistem Maklumat Orang Kurang Upaya (SMOKU) Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM),” katanya.

Shahrizat berkata, sistem itu turut dihubungkan dengan program eMamogram, POPNet dan Sistem Maklumat Kesihatan Reproduktif (RHIS) di bawah Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN).

“Di samping itu, program eKhasNita di bawah Jabatan Pembangunan Wanita serta Sistem Pengurusan Latihan Bersepadu (SPLB) di bawah ISM turut dihubungkan kepada SPDIIS,” katanya.

Terdahulu, dalam ucapannya, Shahrizat berkata, sebagai perancangan masa depan, sistem itu bakal dihubungkan dengan data dan maklumat sosial penting yang wujud di bawah agensi-agensi kerajaan lain seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kementerian Pengajian Tinggi, Kementerian Kesihatan dan Kementerian Sumber Manusia.

“ISM akan mengutip segala data berkaitan dan kita mulakan dengan kementerian dahulu. Apabila ada data yang tepat, jelas dan bertanggungjawab, maka kita boleh buat polisi atau program serta mengenal pasti masalah sosial yang ada. Ini adalah tindakan strategik kementerian,” katanya.

Tuesday, August 2, 2011

RANGKAIAN KERJASAMA BANTERAS JENAYAH


hishammuddin2

PUTRAJAYA: Semua agensi penguat kuasa yang terbabit dalam pembanterasan jenayah harus memantapkan rangkaian kerjasama menerusi perkongsian data serta maklumat untuk manfaat bersama kerana landskap jenayah masa kini sudah banyak berubah dan tidak lagi terbatas sempadan antarabangsa.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata bukan saja agensi, jabatan atau kementerian, sebaliknya mana-mana negara sekali pun tidak boleh lagi bekerja secara bersendirian jika mahu membanteras kegiatan jenayah yang kini lebih kerap membabitkan sindiket antarabangsa yang beroperasi secara global.
Katanya Agensi penguat kuasa kita, termasuk yang di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN), memiliki kecanggihan teknologi dan peralatan moden bagi menangani jenayah tetapi mereka tidak berkongsi hasil risikan, data atau maklumat antara satu sama lain pada tahap kita inginkan.
Jenayah penyeludupan dadah, manusia dan senjata, pemerdagangan manusia, pengubahan wang haram, kegiatan pengganas serta serangan penggodam internet membabitkan bidang kuasa pelbagai agensi kerajaan. Jika mereka tidak bekerjasama, mustahil jenayah seumpama ini dapat dibanteras. Pada masa sama, jalinan kerjasama dengan negara serantau dan pada peringkat antarabangsa juga amat penting bagi membanteras jenayah merentasi sempadan.
Pameran tiga hari bermula semalam itu diadakan tertutup, khusus untuk anggota pihak berkuasa serantau dan antarabangsa selain agensi kerajaan yang bertanggungjawab menjaga keselamatan negara.
Hishammuddin berkata, ancaman merentasi sempadan terhadap sesebuah negara tidak boleh ditangani bersendirian oleh kerajaan berkenaan, tetapi sebaliknya perlukan kerjasama dari segi guna sama teknologi terkini, perkongsian maklumat serta data, bermula dari negara asal, menuju negara transit, seterusnya destinasi akhir.
Beliau berkata, budaya kerja secara bersendirian oleh pihak polis, Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Kastam Diraja Malaysia (KDRM), Jabatan Imigresen dan Bank Negara selama ini harus berubah mengikut perkembangan semasa kegiatan jenayah antarabangsa.
Pada dasarnya, kata beliau, keengganan berkongsi maklumat atau data hanya membantutkan usaha membanteras jenayah tetapi pada masa yang sama, mengingatkan semua agensi penguat kuasa yang bekerjasama supaya sentiasa mengutamakan ketenteraman awam serta keselamatan nasional dan jangan sekali-kali membocorkan rahsia kerajaan.
Di Malaysia, kita sudah merintis kerjasama antara pihak polis dan ATM dari segi mengadakan latihan dan rondaan bersama, tanpa memerlukan sebarang pembiayaan baru atau peruntukan tambahan. Ini boleh kita perluaskan merangkumi agensi lain di bawah KDN.
Katanya jika kita lihat, ancaman yang dihadapi dunia tidak seperti dulu, serangan 11 September terhadap menara berkembar di Amerika Syarikat umpamanya dilakukan oleh orang awam menggunakan pesawat komersial dan sasarannya bukan sasaran tentera, sebaliknya orang ramai. Ini bermakna kita terpaksa memerangi musuh yang tidak kita nampak, tidak tahu bila kita akan menjadi mangsa dan perlukan kerjasama semua pihak bagi menanganinya dengan berkesan.
Disunting Daripada Berita Harian

Monday, August 1, 2011

FORMULA 1:3:7


pelajar-merokok

KUALA LUMPUR: Berikutan kelewatan menangani beberapa kes disiplin di sekolah sejak kebelakangan ini, Kementerian Pelajaran menetapkan supaya kes disiplin murid wajib diselesaikan dalam tempoh tujuh hari pada semua peringkat.


Tempoh itu bagi penyelesaian kes dalam bidang kuasa pentadbiran sekolah, pejabat pelajaran daerah (PPD) dan jabatan pelajaran negeri (JPN), di bawah pelaksanaan Prosedur Operasi Standard (SOP) 1:3:7 (hari pertama, ketiga, ketujuh) Pelaporan Dan Tindakan Menangani Isu Disiplin Murid.


Penyelesaian itu termasuk tindakan perlu diambil mahu pun hukuman atau penyelesaian lain yang sudah dilakukan selain memaksimumkan kepuasan hati pihak terbabit.

Bagaimanapun jika kes itu membabitkan pihak berkuasa lain seperti pendakwaan di mahkamah, maka tempoh proses terbabit tidak dikira dalam pelaksanaan SOP berkenaan.

Berdasarkan SOP itu, insiden yang memerlukan kesegeraan dihantar kepada Kementerian Pelajaran pada hari pertama meliputi kes berunsur jenayah, kelucahan melampau, keracunan makanan, kemalangan serius, bencana, buli, pergaduhan, isu perkauman, pandemik (contohnya H1N1), histeria atau isu lain yang perlu dilaporkan segera pada pandangan pengetua atau guru besar.

Panduan pelaksanaan SOP itu terkandung dalam Surat Pekeliling Ikhtisas Bilangan 7 Tahun 2011 bertarikh 28 Jun lalu yang ditandatangani Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Abd Ghafar Mahmud, serta dimuat naik dalam laman web Kementerian Pelajaran sejak Selasa lalu.

Abd Ghafar berkata, ada kes disiplin murid yang berlaku di sekolah lambat ditangani sehingga menimbulkan ketidakpuasan hati dan menjejaskan reputasi serta prestasi sesebuah sekolah, malah kementerian.

Katanya dalam surat pekeliling ikhtisas itu, ada juga kes atau insiden yang hanya dilaporkan kepada kementerian selepas beberapa hari berlaku atau selepas diminta kementerian. Hal ini menggambarkan kelemahan pengurusan semua peringkat dalam menangani isu ini.

Sejak kebelakangan ini, ada isu disiplin murid yang disiarkan di media massa terlebih dulu, membuktikan kelewatan JPN/PPD melaporkan kes itu kepada kementerian.

Katanya sikap sesetengah pentadbir sekolah yang gagal bertindak segera menghubungi Kementerian Pelajaran amat dikesali dan perlu diperbetulkan.

Pelaksanaan SOP itu juga untuk menilai prestasi sesebuah sekolah, PPD dan JPN dengan mengambil kira pematuhan tahap kesegeraan tindakan bagi menangani masalah disiplin murid.

Mengikut SOP itu, laporan mengenai insiden disiplin murid hendaklah disampaikan segera oleh JPN kepada kementerian, iaitu pada hari kejadian jika berlaku di sekolah; pada hari kes tersebar melalui media massa jika berlaku di luar sekolah, ketika cuti atau di luar pengetahuan pihak sekolah; dan jika berlaku di luar sekolah atau ketika cuti di mana pihak sekolah mengetahuinya, maka hendaklah segera menyampaikan maklumat atau laporan kepada JPN.

Enam langkah yang mesti diambil sebagai tindakan dan penyelesaian kes disiplin iaitu pertama membabitkan sekolah - siasat kes, ambil tindakan awal, buat laporan awal ke PPD atau terus ke JPN (bagi negeri tiada PPD), manakala bagi kes atau insiden serius, sekolah perlu terus lapor ke JPN.

Langkah kedua (PPD) - menyemak maklumat daripada sekolah dan siasat, menghantar laporan awal ke JPN berserta ulasan dan pandangan awal PPD, membantu sekolah menyelesaikan masalah termasuk tindakan wajar, sementara bagi kes atau insiden serius, PPD boleh lapor terus kepada JPN atau kementerian.

Langkah ketiga (JPN) - menyemak maklumat daripada PPD dan siasat jika perlu, serta menghantar laporan awal ke kementerian berserta ulasan dan pandangan awal JPN.

Langkah keempat (JPN) - menjalankan siasatan selanjutnya dan menghantar laporan penuh kepada kementerian, termasuk tindakan yang sedang, akan atau sudah diambil oleh pihak terbabit.

Langkah kelima (kementerian melalui Bahagian Pengurusan Sekolah Harian/BPSH) - membuat ulasan dan pandangan terhadap laporan JPN, membawa laporan kepada Ketua Pengarah Pelajaran, jika perlu tindakan lanjut maklumkan kepada JPN untuk dibuat, dan JPN melaporkan semula kepada BPSH.

Langkah keenam (BPSH) - mengkaji laporan akhir JPN serta menentukan tindakan dari segi dasar operasi kementerian.


Berita disunting daripada sumber : Berita Harian

ENGGAN DICERAI PUNCA RAMAI WANITA TERTEKAN


bergaduh-depan-anak2

KUALA LUMPUR: Hidup berasingan dengan suami kerana tiada keserasian serta mahu mendapatkan hak penjagaan anak walaupun tidak mampu adalah antara yang sering dihadapi wanita sehingga menyebabkan mereka menghadapi tekanan perasaan.

Pakar sosiologi klinikal, Datuk Dr Wan Halim Othman, berkata berdasarkan pengalaman mengendalikan kursus konflik keluarga sejak 40 tahun lalu, ramai wanita yang enggan menerima kenyataan rumah tangga mereka sudah tidak boleh diselamatkan tetapi tidak mahu diceraikan.

Menurutnya ada kes wanita yang tinggal berjauhan dengan suami selama 20 tahun kerana tidak sanggup diceraikan. Ada yang sampai meninggal dunia hidup berasingan. Bagi kes seperti ini, dia sering nasihatkan mereka terus tinggal berasingan jika kedua-dua pihak tidak mahu berkahwin lain apabila bercerai. Wanita juga jangan terus terlalu berusaha memperbaiki hubungan itu.

Semalam, Berita Harian melaporkan mengenai faktor yang mendorong wanita di Malaysia mengalami tekanan perasaan termasuk curiga suami mempunyai wanita lain, anak tidak pandai dalam pelajaran dan tidak bekerja, selain wanita bekerja yang terpaksa bekerja dua kali ganda untuk mendapatkan pengiktirafan majikan, berbanding lelaki.

Dr Wan Halim berkata, ada juga kes ibu tunggal yang mengalami tekanan perasaan bertahun-tahun akibat dipukul suami dan selepas suaminya meninggal dunia, dipukul pula anaknya. Jika isteri dipukul suami, mereka mesti cuba melawan kerana jika tidak, anak akan melihat ibunya tidak kisah dipukul. Dia simpati melihat golongan yang datang meluahkan perasaan seperti sudah tidak ada harapan lagi untuk hidup.

Beliau juga berkata, ibu tunggal yang tidak mampu menjaga anak perlu melepaskan hak penjagaan kepada suami kerana keinginan untuk menuntut hak itu walaupun berdepan kekangan kewangan menyebabkan tekanan perasaan yang kronik.

Disunting Daripada Berita Harian

Friday, July 29, 2011

KEPENTINGAN HERBA DALAM MASYARAKAT MELAYU

OLEH:

AZURA BINTI ABD. RAMAN

PENDAHULUAN

Semenjak dari dulu lagi tumbuh – tumbuhan memainkan peranan penting dalam kehidupan manusia. Beberapa ribu tahun dahulu, tumbuhan telah digunakan dengan meluasnya sebagai makanan dan juga ubatan.

Bapa perubatan iaitu Hippocrates yang telah menubuhkan Kuil Aesculapius, iaitu sebuah Kolej Perubatan juga telah mempelajari ilmu perubatan dengan menggunakan tumbuhan herba daripada orang – orang Mesir.

Malaysia merupakan negara yang kaya dengan tumbuh – tumbuhan semulajadi untuk membuat ubat tradisional. Terdapat lebih 6000 spesis tumbuhan tropika di seluruh Malaysia.

Ubat tradisional sememangnya kaya dengan nutrien, serta kebolehannya untuk mengubati berbagai jenis penyakit. Ianya telah digunakan semenjak dari dahulu lagi sehinggalah sekarang. Ianya kekal menjadi rawatan yang popular sehingga sekarang. Ubatan tradisional adalah satu sains atau latihan dalam perubatan dan penjagaan kesihatan yang telah diwarisi sejak zaman berzaman. Ianya telah diturunkan secara lisan atau secara bertulis melalui amalan – amalan atau kepercayaan sesuatu komuniti.

BAGAIMANA TUMBUHAN HERBA DIJADIKAN SEBAGAI UBAT

Tidak syak lagi bahawa tumbuhan adalah merupakan rahmat Allah s.w.t yang tidak ternilai kepada manusia. Bukan sahaja sebagai bahan makanan sehari – hari, bahkan untuk kegunaan berbagai bidang kehidupan mereka. Termasuklah bidang perubatan, menyembuh dan membasmi berbagai jenis penyakit.

Sejak dari zaman purba manusia primitif yang hidup disesuatu bahagian mukabumi ini, mungkin sudah dapat mengenali segala jenis tumbuhan yang terdapat di sekitar kawasan kediaman mereka. Mereka sudah dapat memastikan dan membezakan diantara tumbuhan yang boleh dimakan dengan tumbuhan yang mengandungi racun yang boleh memudaratkan.

Mereka juga memerhatikan dan mengambil tahu akan jenis tumbuhan yang lazim dimakan oleh binatang peliharaan seperti kucing. Terutama apabila melihat binatang itu tidak sihat. Maka mereka dapat pula pengetahuan mengenali jenis tumbuh – tumbuhan yang berkhasiat. Lalu disesuaikan dengan pengalaman mereka sendiri untuk dijadikan bahan perubatan. Demikianlah manusia sejak zaman berzaman sudah mempunyai kesanggupan mengubat, menyembuhkan berbagai jenis penyakit dengan menggunakan beberapa jenis tumbuh – tumbuhan.

Khasiat beberapa jenis tumbuh – tumbuhan tertentu yang pada mulanya hanya diketahui oleh kaum peribumi setempat itu sahaja, rupa – rupanya telah membawa rahmat kepada umat manusia serta dunia, sama ada untuk menyembuhkan penyakit tertentu ataupun dalam sesuatu bidang perubatan. Misalnya, pokok chichona, yang berasal dari Peru itu, setelah diproses oleh pakar – pakar perubatan moden telah menghasilkan quinine, ubat mujarab untuk menyembuhkan penyakit malaria. Daun – daun dari pokok koka, setelah diproses mengasilkan kokain, iaitu ubat pelali atau bius. Sementara opium yang diproses dari bunga popi, menjadi bahan ubatan untuk mengubati beberapa jenis penyakit dan tidak terkecuali dalam perubatan Melayu tradisional.

Menyentuh perkara tumbuhan sebagai bahan ubat – ubatan ini, maka kepulauan Melayu ini bolehlah disifatkan sebagai gedung ubat yang amat besar. Segenap hutan belukar, bukit bakau, lembah, paya, sawah, padang, kampung dusun, bahkan di kawasan kediaman sendiri terdapat tumbuhan yang berbagai jenisnya. Oleh yang demikian seperti juga peribumi di bahagian – bahagian lain di muka bumi ini, orang Melayu sudah mengetahui akan khasiat tumbuh – tumbuhan yang terdapat di sekitar mereka. Maka dari pengetahuan inilah terbitnya gelaran – gelaran dukun, bomoh, pawang dan sebagainya.

Kebiasaannya cara ubatan tradisional Melayu menggunakan beberapa jenis tumbuh – tumbuhan herba dalam merawat sesuatu jenis penyakit. Dimana tumbuh – tumbuhan herba ini akan dicampurkan bersama – sama mengikut cara – cara yang tertentu. Sama ada dengan cara memasak kesemua tumbuhan tersebut ataupun dengan mengilingnya dan berbagai cara lagi. Diantara contoh – contohnya adalah seperti di sebelah :

  1. PENYAKIT KEPIALU
  2. Ambil biji sesawi, akar kawi, jerangau bonglai, temu putih, daun rembega dan daun kebas bendang. Giling sehingga lumat dan campurkan dengan air. Kemudian lumurkan pada seluruh badan ataupun boeh juga diminum.

  3. Demam panas
  4. Ambil gelang sambar dara, setawar, pucuk lancung, adas manis,bunga pulasan, putik bebaru, bawang putih, bawang merah, mesui dan pinag muda. Kesemua bahan ini ditumbuk sehingga lumat dan dicampurkan dengan air, kemudian minum.

  5. Muntah
  6. Ambil buah pala dan bawang putih sebiji lalu dimakan dengan sakar.

  7. Sakit Kepala
  8. Ambil daun pegaga, kapur barus dan sendawa. Giling sehingga lumat dan tempelkan di kepala yang sakit itu.

  9. Kayap
  10. Ambil daun cucuran atap, daun kedondong dan daun lada pahit. Giling dan kemudian sapu.

  11. Panau

Ambil cendana dan tuba tikus, asah dengan air limau nipis. Bubuhkan pada tempat panau itu.

Rahsia Tumbuhan Herba Bagi Wanita Melayu

Bagi kebanyakkan kaum wanita pula, mereka lebih gemarkan pengambilan jamu untuk menjaga kesihatan mereka. Bahan – bahan asli seperti tumbuh – tumbuhan, daun – daun, akar – akar kayu, buah – buahan dan bunga – bungaan mempunyai khasiat untuk merawat kesihatan dan kecantikkan tubuh badan.

Jamu ialah ubat tradisional yang telah digunakan oleh nenek moyang kita sejak dahulu lagi. Mereka telah mengamalkan penggunaan jamu ini untuk mengubati berbagai jenis penyakit dan tidak ketinggalan juga untuk menyihatkan dan menguatkan badan. Pemakanan dan penggunaan ubat tradisional yang asli ini masih diamalkan hingga ke hari ini. Walaupun perubatan moden begitu luas digunakan dan dikembangkan dengan begitu canggih sekali. Keberkesanan penggunaan jamu yang jarang memberi kesan sampingan telah terbukti melalui pengalaman para pengamalnya yang setia.

BAGAIMANA IA DIHASILKAN

Kebanyakan bahan – bahan boleh didapati dari kedai – kedai runcit yang mendapatkan bekalan daripada pembekal – pembekal yang mendapatnya daripada hutan rimba. Tetapi ada juga yang menanamnya dihalaman rumah seperti sirih, kunyit, daun beluntas, kemangi, serai dan lain – lain. Ada juga daun yang boleh dibuat ulam seperti betik, dimana khasiatnya ialah untuk mempercepatkan jahitan difarajwanita yang baru lepas bersalin, kering dan sembuh dengan sempurna. Daun betik ini direbus dan diminum airnya selama dua hingga tiga hari.

Bahan – bahan lain yang boleh didapati di dapur kita ialah asam, halia untuk memanaskan badan. Kunyit digunakan untuk menyembuhkan gatal – gatal dan luka – luka. Kencur atau cekur, pati beras, adas untuk menghilangkan sakit perut , memperbaiki perjalan haid yang teratur dan masalah susah tidur. Bawang merah untuk mengubati batuk dan masuk angin. Bunga cengkih boleh mengubati masuk angin dan juga perut memulas. Lempoyang untuk mengubati kurang nafsu makan, sesak nafas dan bau badan.

Sementara bahan yang boleh didapati dari halaman rumah ialah bayam duri untuk mengubati selsema, bisul, sesak nafas dan demam nifas. Buah belimbing untuk mengubati kencing manis, batuk,tekanan darah tinggi dan sakit kepala. Daun sirih, daun lidah buaya, daun orang aring, kemangi, serai dan daun beluntas boleh mengubati demam panas, darah kotor,nafas berbau. Limau nipis untuk mengatasi masalah kegemukkan.

Lazimnya jamu ini tidak mempunyai resipi yang tepat iaitu jumlah atau ukuran bahan - bahan untuk sesuatu ramuan tidak mengikut sistem metrik, melainkan mengikut cara ukur yang mudah seperti ukuran genggam, menggunakan jari – jari dan jemputan tangan. Dosnya juga bermacam – macam, misalnya satu gelas, setengah botol, satu cawan dan sebagainya. Dibawah ini disenaraikan beberapa contah jamu yang biasa diamalkan oleh wanita untuk kecantikkan serta penjagaan kesihatan. Dimana jamu – jamu ini boleh dibuat sendiri di rumah tanpa memerlukan modal yang besar.

    1. Jamu Lempoyang
    2. Khasiatnya adalah untuk membersihkan kulit muka. Ambil ½ ibu jari lempoyang, kikis kulitnya dan parut. Perah bahan tersebut dan minum airnya dengan ditambah sedikit gula atau madu.

    3. Jamu Tomato
    4. Khasiatnya ialah untuk mencantikkan kulit. Sebiji tomato merah yang besar diblenderkan dan dicampurkan dengan sedikit gula. Minum airnya setiap hari.

    5. Jamu Beras Hancur

Khasiatnya ialah untuk menyegarkan wajah, melancarkar peredaran darah dan mengurangkan kepenatan. Ambil 1kg cekur, 1 genggam beras, 5 potong kayu manis, 10 kuntum bunga cengkih, gula Melaka dan 1 sudu asam jawa. Goreng beras tanpa minyak sehinga nampak kekuningan dan tumbuk halus. Tambah cekur, bunga cengkih, kayu manis dan tumbik lagi. Rebus gula merah dan asam dengan setengah periuk sedang air kemudian sejukkan. Apabila sejuk tambahkan bahan yang ditumbuk tadi. Kacau dan tapis . Minum 1 cawan sehari.

KESIMPULAN

Dengan ini jelaslah bahawa tumbuh – tumbuhan herba sememangnya penting dalam perubatan Melayu. Dimana ianya telah terbukti dalam menyembuhkan berbagai jenis penyakit. Disamping itu juga ianya amat penting dalam penjagaan kesihatan serta kecantikkan. Apa yang penting adalah kesedaran kita semua untuk menyedari serta menghargai sumber alam semulajadi yang mempunyai banyak khasiatnya.

RUJUKAN

    1. A. Latif, Dept of Botany UNI,1991.Status of Herbaria in Malaysia.
    2. A. Samad Said, 1935 (ED), Warisan Perubatan Melayu, DBP, KL,1992.
    3. Lia Omar, Jamu : Rahsia Kejelitaan Bagi Setiap Wanita, Times Books International, Singapore,1994.

Sunday, July 24, 2011

JENAYAH KANAK-KANAK

Salah satu prinsip penting pertumbuhan kanak² ialah keperluan waktu bermain yang bebas dan panjang. Permainan penting dalam pembinaan peribadi seorang kanak². Ia juga ada kaitan dengan keperluan menjadikan mereka cergas dan sihat.

Lebih utama lagi ialah kepentingan untuk berinteraksi dengan kawan² dan persekitaran. Dalam proses seperti itu, kanak² akan melalui proses sosialisasi yang akan menguntungkan mereka untuk jangka panjang.

Pada zaman saya membesar, kami menghabiskan lima kali lebih banyak masa di luar rumah daripada kanak² zaman ini. Ketika itu tidak ada ‘gangguan’ lain. Televisyen belum ada, apa lagi internet atau permainan komputer.

Kanak² membesar sebagai sebahagian daripada proses bermasyarakat , milik komuniti dan boleh ditegur oleh semua orang.

Hari ini, peranan anggota masyarakat menjadi kacau bilau oleh pelbagai elemen dan pengaruh luar. Globalisasi, dunia tanpa sempadan, pengaruh teknologi maklumat dan kecanggihan peralatan moden mengubah cara manusia berinteraksi dan bermasyarakat.

Ibu bapa moden memilih untuk hidup di dalam kepompong keselamatan masing² . Rumah menjadi benteng memisahkan mereka dan anak² dari luar. Segala-galanya dibayangi kekhuatiran terhadap keselamatan.

Kita tidak boleh menyalahkan kerisauan ini. Meningkatnya kes jenayah kanak-kanak dan gangguan seksual ada kaitannya dengan fobia baru ibu bapa mengenai keselamatan anak mereka sehingga ibu bapa mendirikan tembok yang lebih besar bagi melindungi anak mereka.

Kepadatan penduduk, manusia yang tidak boleh dijangka dan sistem bermasyarakat di bandar tidak memihak kepada kanak² untuk hidup berdikari dan punya kebebasan tersendiri sedangkan ianya sesuatu yang diperlukan dalam proses pertumbuhan menuju kedewasaan.

Mendidik anak² memanglah tugas ibubapa, jadi apa yang ingin saya kongsi adalah cara saya sebagai seorang ibu mengawasi anak² saya . Saya melalui dan saya percaya teman² saya di luar sana adalah ibubapa muda yang mempunyai anak yang sedang membesar dan memerlukan perhatian.

Baca beberapa tips yang pernah saya lakukan untuk peringatan kepada anak² saya dan moga ianya dapat membantu.

Wednesday, July 20, 2011

PENYALAHGUNAAN DADAH

NAMA : MUHAMMAD HAIKAL.

TAJUK: PUNCA UTAMA BERLAKUNYA PENYALAHGUNAAN

DADAH DIKALANGAN REMAJA .

Penyalahgunaan dadah dikalangan pelajar kini semakin berleluasa dan merisaukan banyak pihak. Banyak faktor yang menyumbang kepada berlakunya gejala ini.

Punca utama berlakunya penyalahgunaan dadah dikalangan remaja adalah kerana kurangnya perhatian dan didikan daripada ibu bapa. Hal ini demikian kerana remaja yang kurang ataupun tidak diberi perhatian akan berasa tersisih di dalam keluarga. Dalam pada itu, didikan yang tidak sempurna yang diberikan oleh ibu bapa akan mendedahkan mereka pada gejala ini. Sebagai contohnya, remaja yang kurang diberi perhatian dan kurang diberi didikan yang sempurna akan mengambil jalan mudah bagi melepaskan tekanan perasaan dengan mengambil dadah.

Selain itu pengaruh rakan sebaya adalah faktor remaja terlibat dengan penyalahgunaan dadah. Pada masa kini remaja sering menjadikan rakan mereka sebagai mentor bagi diri mereka terutama yang seusia kerana pelbagai kelebihan. Apabila remaja ini salah memilih rakan dan meletakkan kesetiaan yang tinggi sebagai seorang rakan, maka mereka akan mudah terpengaruh dengan rakan mereka. Contohnya, demi persahabatan dan tidak ingin mengecewakan rakan-rakan mereka, remaja tersebut akan mengikut rakannya melakukan perkara yang tidak bermoral seperti mengambil dadah.

Dadah yang mudah didapati juga adalah punca aktiviti yang tidak bermoral ini berlaku dikalangan remaja. Dalam hal ini, kecanggihan teknologi memainkan peranan yang penting. Dengan adanya talian telefon tanpa wayar dan jaringan sosial , pembeli dan pembekal dadah dapat berhubung secara terus tanpa halangan. Contohnya, remaja hanya perlu menekan beberapa butang di telefon bimbitnya dan menghubungi pembekal. Kemudian, remaja tersebut hanya perlu menunggu tanpa perlu mencari pembekal.

Hukuman yang kurang berkesan juga adalah salah satu faktornya. Hukuman yang dikenakan terhadap remaja yang menagih juga adalah ringan . hal ini kerana, penguatkuasaan mengenai penagihan dadah di kalangan remaja tidak diperbaharui. Remaja beranggapan bahawa hukuman yang dikenakan keatas mereka pasti ringan kerana mereka masih berusia belasan tahun. Mereka juga beranggapan jika ditangkap Cuma hanya dipenjara dan didenda. Semua hukuman ini mereka mampu laksanakan.

Kesimpulannya kerjasama dari semua pihak amatlah diperlukan bagi menghalang remaja terlibat dengan gejala yang tidak bermoral ini terutamanya masyarakat sekeliling.hal ini kerana remaja adalah pewaris masa depan negara.